Bagi Parlimen:
Monday, May 6, 2013
Statistik Keputusan PRU 13 - Parlimen dan Dun
Bagi Parlimen:
Sunday, September 9, 2012
Politik Caca Merba
|
Ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi.
Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.
Bacaan lanjut, klik link berikut:
http://www.malaysiakini.com/columns/208208
Sumber: malaysiakini.com
Sunday, March 28, 2010
Tuesday, December 22, 2009
Malaysiakini: Dr Mahathir ...

Victor A Pogadaev
Dis 21, 09
6:36pm
Ketika kemuncak krisis kewangan di Asia Tenggara pada Ogos 1998, saya berkunjung ke Kuala Lumpur atas undangan Gabungan Persatuan Penulis Nasinal (Gapena) dan julung-julung kali melihat lapangan terbang antarabangsa KLIA yang baru dirasmikan.
Saya dengan hairan berkata: "Dan anda cakap anda mengalami kemelesetan ekonomi!"
Reaksi hampir sama saya lahirkan apabila timbalan ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Azmi Razak (yang kebetulan saya kenali ketika masih belajar di Universiti Malaya pada 1970-an) dengan bangga menunjukkan Kompleks Sukan Bukit Jalil yang juga baru dirasmikan menjelang Sukan Komanwel.
Dalam mendepani kegawatan ekonomi ketika itu, tentu petandanya boleh dilihat dengan jelas. Tetapi pada amnya program pembangunan negara seiring dengan Wawasan 2020 terus dilangsungkan.
Sumbangan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hal itu tidak boleh dinafikan. Mula-mula beliau mengambil tindakan melawan spekulator mata wang dengan menetapkan kadar tambatan ringgit yang stabil dan mengehadkan pengalirannya ke luar negara.
Strategi mengatasi krisis yang disusun perdana menteri - tanpa bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan pertubuhan antarabangsa lain - ternyata amat berkesan. Lebih penting, strategi itu dilaksanakan sedemikian rupa sehingga tidak merugikan program sosial dan tidak pula memberatkan kedudukan orang biasa.
Pemandu teksi yang membawa saya dari KLIA mengungkapkan: "Mahathir seorang perdana menteri rakyat. Dia mementingkan bukan diri sendiri tetapi orang yang sekarang berada dalam kesempitan, iaitu rakyat jelata".
Pastinya fenomena keperibadian Dr Mahathir akan disoroti lama lagi. Tindakan seorang yang luar biasa selalu menarik perhatian, tambahan pula kalau beliau memang pandai menemui jalan keluar dari sebarang situasi, bahkan yang sepintas lalu kelihatan buntu.
Saya ingat pada akhir tahun 1980-an apabila, sebagai akibat formaliti undang-undang, Umno yang diketuainya menjadi seakan-akan tidak wujud. Dr Mahathir dengan pantas mendaftarkan parti itu dengan nama Umno (baru).
Seorang wartawan asing pernah mencatat situasi itu seperti berikut:"Mahathir seumpama dengan orang yang terjatuh ke dalam lubang tetapi bukan saja boleh keluar dengan selamat, malah menemui di sana harta karun".
Dr Mahathir juga pernah dinamakan sebagai doktor rakyat apabila, selepas rusuhan kaum pada Mei 1969, beliau disingkirkan daripada partinya dan kembali menyambung kerja di klinik.
Ia berpunca daripada surat yang ditulisnya kepada perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra dan kerajaan, dengan menimpakan tanggungjawab berhubung rusuhan kaum itu kepada mereka - bertentangan dengan pendapat umum waktu itu.
Dr Mahathir tidak boleh secara langsung mengambil bahagian dalam politik tetapi beliau tidak dilarang menulis. Dan beliau menurunkan fikiran yang paling terpendam ke atas kertas.
Mengapa orang Melayu di negaranya sendiri tidak berpeluang menjalankan kehidupan selayaknya? Apa mesti dilakukan bagi meninggikan taraf ekonomi mereka dengan tidak merugikan hak kaum lain? Bagaimana hendak mencapai kesetaraan antara kaum?
Ia membawa kepada kesimpulan bahawa, penting mengembalikan orang Melayu ke bidang pengeluaran dan perdagangan seperti mereka didesak keluar akibat dasar penjajah yang menggalakkan imigrasi pekerja dari India dan China serta membekukan hubungan patriarki di kalangan Bumiputera luar bandar.
Tetapi membuat itu tanpa sokongan kerajaan adalah tidak mungkin. Kerana itu, beliau mencadangkan orang Melayu diberi bantuan ekonomi khusus.
Dilema Melayu, buku karangan Dr Mahathir, diharamkan tetapi ia masih sempat dibaca orang. Persoalannya, apa gunanya mengharamkan buku itu apabila rusuhan kaum 1969 menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan masalah kemunduran orang Melayu.
Kesan-kesan rusuhan, antaranya deretan kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Bangsar dan sikap berhati-hati orang Melayu dan Cina terhadap satu sama lain - masih kelihatan ketara pada 1970 apabila saya bersama sekumpulan pelajar Russia julung-julung kali datang ke Kuala Lumpur.
Di Universiti Malaya, jarang dilihat pelajar-pelajar Melayu dan Cina bergaul bersama. Mereka juga mengelak membincangkan masalah politik. Betapa seriusnya hal itu dimengertikan oleh Tunku Abdul Rahman yang memilih untuk bersara.
Langkah itu boleh ditafsirkan sebagai kerelaannya mengambil tanggungjawab atas peristiwa Mei 1969 - satu pendirian berani!
Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikannya ternyata memiliki pandangan yang sama dengan Dr Mahathir. Beliaulah yang menyusun Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu.
Pastinya allahyarham turut memerhatikan Dr Mahathir pada awal tahun 1960-an apabila beliau dipilih menjadi ahli parlimen dan dengan giat mempertahankan kedudukan orang Melayu.
Dengan bersaranya Tunku Abdul Rahman, maka Dr Mahathir mendapat peluang melaksanakan gagasannya dan kembali berpolitik secara aktif. Pada 1972, beliau diterima kembali dalam Umno dan diberi jawatan dalam kerajaan dua tahun kemudian.
Mula-mula Dr Mahathir dilantik sebagai menteri pelajaran. Pada 1976, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn. Pelantikan ini disusuli jawatan perdana menteri pada 1981.
Peristiwa itu disifatkan pemerhati politik bukan hanya sebagai pergantian kerajaan, malah melonjakkan ahli politik generasi baru - meskipun tidak berapa muda daripada pendahulunya tetapi mempunyai asal-usul lain, penuh gagasan baru dan berazam bergiat cergas.
Lee Kuan Yew, waktu itu perdana menteri Singapura, mencatatkan bahawa di Malaysia "generasi baru daripada lapisan bawah datang ke tampuk kekuasaan'. Dan ia sememangnya benar demikian.
Dr Mahathir bukan saja menyambung dasar pendahulunya yang mahu menyatukan di sekitar Umno pertubuhan-pertubuhan politik lain, termasuk parti pembangkang, dalam rangka BN tetapi mengubah wajah negara sama sekali.
Apabila saya kembali semula ke Malaysia selepas 16 tahun, saya tidak kenal lagi negara ini. Malaysia mendekati apa yang dinamakan negeri perindustrian baru, ia berhasil merekabentuk kereta sendiri yang dieksport dan bercita-cita melancarkan seorang angkasawan ke angkasa lepas.
Tetapi saya sempat menyaksikan gejala yang lain juga. Di mana-mana, ternampak petanda pengislaman yang cergas. Perempuan Melayu mula bertudung dan berbaju kurung labuh. Kaum lelaki Muslimnya mula lebih ketat mengikuti peraturan agama.
Bermacam-macam acara keagamaan, termasuk tilawah membaca al-Quran, menyerikan kehidupan bernegara. Islam seakan-akan menjadi perisai untuk orang Melayu mempertahankan jati diri, keperibadian dan kebudayaannya.
Lembaga-lembaga kewangan Islam, termasuk bank Islam, mendapat peluang berakar kuat. Bersamaan dengan itu, kaum-kaum lain juga mendapat keyakinan terhadap masa depan.
DEB yang disusun pada zaman Abdul Razak diubahsuai sedemikian rupa sehingga tidak menjejaskan hak mereka sambil meninggikan status ekonomi bumiputera.
Bukti keberhasilan jalan yang dipilih ialah pencapaian besar dalam bidang ekonomi yang dicerminkan antara lain dengan pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan mercu tanda berprestij, Menara KL dan Menara Berkembar Petronas.
Cendekiawan dan kelompok masyarakat yang paling peka pada amnya menyokong dasar-dasar Dr Mahathir.
Bayangkan Malaysia, dahulunya negara agak kecil dan kurang dikenali, mengejutkan masyarakat dunia dengan menuntut agar benua Antartika diberi status "warisan seluruh umat manusia".
Malah, Malaysia sentiasa berada di barisan depan dalam pelbagai kerjasama antarabangsa, termasuk memerangi dadah, di samping menjadi penganjur penyatuan usaha negara membangun untuk mendapat tempat lebih dihormati di dunia.
Maka berkumandanglah suara Dr Mahathir yang mengungkapkan: "Kita lama memandang pada Barat tetapi tidak lagi menganggapnya sebagai contoh sesuai bagi kita".
Ia bukan sekadar kata-kata, sebaliknya diteruskan dengan langkah-langkah konkrit menuju ke arah terjalinnya hubungan lebih seimbang dengan negara lain, termasuk Russia.
Dasar Dr Mahathir dalam bidang kebudayaan juga lain daripada yang lain. Malaysia sebuah negara Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan menengah dengan pengecualian untuk penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi (IPT).
Semangat patriotisme yang menjadi ciri khas masyarakat Malaysia adalah salah satu faktor lagi yang membantu Dr Mahathir mengadakan dasarnya demi kepentingan rakyat.
Namun, Malaysia juga negara yang menyaksikan kewujudan pelbagai parti politik. Dan tidak semua langkah pemimpin negara dinilai sama. Misalnya Dr Mahathir pernah dikritik kerana bertindak terhadap pembangkang pada kemuncak krisis kewangan tetapi keprihatinan beliau boleh dimengerti.
Akhirnya, kita tidak boleh tidak mengagumi cara bagaimana kerajaan Malaysia memikirkan nasib pelajar sekolah. Mereka akan hidup pada alaf baru dan, kerana itu, wujudlah satu lagi cogan kata “anak tanpa komputer ialah anak tanpa hari depan”.
Kenyataan itu bererti bahawa pada masa terdekat setiap keluarga akan menpunyai sekurang-kurangnya satu komputer.
Raja yang dilawati oleh Putera Kecil dalam karya penulis Perancis, Antoine de Saint-Exupery Le Petite Prince (Putera Kecil) pernah berkata:
"Kekuasaan patut menjadi wajar. Kalau aku memerintah rakyat untuk menceburkan diri ke laut, maka rakyat akan mencetuskan revolusi. Aku berhak menuntut kepatuhan kerana perintahku wajar".
Kini, ketika Dr Mahathir sudah bersara daripada kegiatan politik aktif, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa dasar Dr Mahathir memang wajar. Selama 22 tahun, beliau menyusun strategi yang boleh dicapai bersandarkan kepada sokongan masyarakat terbanyak.
Dr Mahathir tidak takut mengubah dasarnya, sesuai dengan perkembangan semasa dan berpandukan kepentingan rakyat terbanyak tanpa mengambil peduli pendirian Barat.
Dan apabila beliau mundur, beliau yakin akan hari cerah Malaysia kerana penerusnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak menyambungkan politik bertujuan untuk meningkat kesejahteraan rakyat.
Dr Victor A Pogadaev adalah sarjana Rusia yang kini berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya. Artikel ini disediakan bersempena dengan sambutan ulang tahun hari lahir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 20 Disember.
Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/120338
Saturday, August 8, 2009
Sudah-sudahlah tu!

Jangan cakap pasal politiklah.
Lihat dari sudut peranan dan tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang mempunyai kuasa untuk menjadikannya kenyataan.
Dah tiba masanya, kedai 24 jam, 7 Eleven Malaysia tidak menjual arak / minuman keras dalam premis mereka. Setakat yang saya pernah lihat, semua 7 Eleven pekerjanya adalah orang Melayu Islam.
Orang Islam bukan setakat tidak boleh minum arak / minuman keras, malahan menjualnya pun sudah menjadi subhah.
Kalau boleh wujudkan kedai-kedai judi berlesen (sport toto, 4D, dsbnya. yang bersepah di seluruh negara, maka buatlah kedai arak berlesen. Hanya kat situ je boleh jual arak. Di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam dan yang sewaktu dengannya dilarang. Sepatutnya boleh buatlah, sebab Malaysia ni kan sebuah negara Islam. Apa guna sebut nama negara Islam kalau Islam jadi perkara kedua atau berikutnya... Jadi kalau masing-masing masih berdolak-dalik, masih lihat dari sudut politiklah namanya tu. Politik nombor satu. Agama muncul kemudiannya. Jadi jangan cakaplah pasal memperjuangkan Islam... korang semua sama sajalah.
Monday, March 30, 2009
Sampai 15 calon!. Apa maknanya tu???

Pertama kali dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.
Senarai Calon:
01. R. Loganathan (Bebas) - logo kelapa sawit
02. Tan Hock Huat (Bebas) - kunci
03. Radzi Md. Lazim - Bebas - kerusi
04. S. Manikumar (PKR) - logo PKR
05. Mohd. Fadzil Abdul Wahab (Bebas) - kepala harimau
06. Abdul Rahim Abu - (Bebas) - jam loceng
07. L. Sarala (Bebas) - basikal
08. Datuk S. Ganesan (BN) - dacing
09. A. Jayagopal (Bebas) - payung
10. S. Moganakumar (Bebas) - buku
11 . Khamis Awang (Bebas) - ayam jantan
12. Husaini Yaacob - (Bebas) - bas
13. M. Vanesan - (Bebas) ikan
14. Mejar (B) Anuar Abd. Hamid (Bebas) - telefon
15. T. Chandrarajan - (Bebas) kapal terbang
Apa maknanya???
01. Tidak percaya lagi kepada sistem parti?
02. Protes kepada calon pilihan parti?
03. Protes kepada situasi politik semasa?
04. Menonjolkan kredibiliti diri lebih berpeluang baik daripada kredibiliti kedua-dua parti bertanding?
05. Mengejar populariti?
06. kerana tawaran yang menang akan dipilih menjadi Exco Kerajaan Negeri?
07. Mengambil kesempatan?
08. Diambil kesempatan? - (diperalatkan?)
Apa-apapun puncanya, apa-apa pun maknanya, apa-apa pun isyaratnya... Moga ini yang pertama dan terakhir dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Keadaan sebegini bukan sesuatu yang baik untuk budaya politik Malaysia, negara dan rakyatnya.
Kepada para pengundi, sampaikan isyarat / makna daripada anda. Moga anda semua bukan hanya penting kepada para YB dan calon-calon YB di musim pilihanraya semata.
Wednesday, February 4, 2009
Pilihanraya di Malaysia - Sudah Tiada Nilainya Lagi

Daripada Mkini:
http://www.malaysiakini.com/news/97130
http://www.malaysiakini.com/news/97594
http://www.malaysiakini.com/news/97568
Link berita-berita di atas sekadar beberapa contoh menunjukkan betapa undi kita sebagai rakyat tidak lagi ada nilainya. Pembentukan kerajaan negeri dan mungkin di masa akan datang, pembentukan kerajaan persekutuan pula akan ditentukan oleh apa yang wakil rakyat yang telah kita pilih tentukan pilihan selepas mereka menang.
Mereka boleh istihar keluar parti, mereka boleh istihar jadi wakil bebas, mereka boleh pindah (err.. lompat parti), mereka boleh keluar masuk parti ikut suka hati, mereka yang menentukan siapa kerajaan seterusnya selepas selesai pilihanraya. Jika sekumpulan wakil rakyat berbuat demikian, maka akan bertukar kerajaan negeri mahupun persekutuan.
Mengambil kira kerajaan negeri Perak sebagai contoh, sebenarnya rakyat dalam dilema atau mungkin juga keliru dengan wakil yang mewakili kawasan mereka.
Sebenarnya, menjadi wakil rakyat bukanlah mudah jika mengikut amalan sepatutnya. Menjadi wakil rakyat bermakna menjaga dan membela (mengutamakan) rakyat yang mereka wakili). Ertinya kena berkorban dan menyumbang kepada rakyat setempat yang diwakili mereka dan bertanggungjawab kepada negeri dan negara secara keseluruhannya. Tapi ramai berebut-rebut nak jadi wakil rakyat walaupun berat beban yang akan ditanggung oleh seorang wakil rakyat yang ikhlas. Hebat, Malaysia punyai ramai wakil rakyat yang bersedia memikul bebanan berkenaan kan... Moga kepada yang tidak mengejar imbuhan di dunia, akan mendapat imbuhan setimpal di akhirat kelak. Kepada yang telah mendapat imbuhan di dunia, moga juga mendapat imbuhan betul-betul setimpal di akhirat kelak.
Apa-apa pun, kembali kepada situasi kerajaan negeri Perak, jika DUN dibubarkan dan piliihanraya DUN diadakan, bayangkan berapa banyak $$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$.... dan $$$$$$$$$... dan..$$$$$$$$ diperlukan.. dibelanjakan.. ditaburkan... diagihkan.. diperuntukkan dan segala kan... lagi. Suka ataupun tidak, itulah hakikatnya, walaupun $$$$$ amat bernilai di zaman kegawatan ini. Jikapun pilihanraya tidak diadakan, adakah stabil kerajaan yang sedemikian? Bagaimana jika peristiwa kembali ke parti asal berlaku seperti yang dilakukan oleh ADUN Bota?... Adakah kerajaan akan bertukar lagi...????? Adakah kita mahu seperti Thai, yang kejap-kejap bertukar kerajaan (PM).
Lu fikirlah sendiri... Atau mari kita pakat-pakat fikir dan tunjukkan undi kita sebenarnya masih ada nilainya... Jangan dipermainkan sewenangnya. JANGAN!!!!
Wednesday, November 5, 2008
BUDAYA-BUDAYA NEGATIF DALAM UMNO?
-------------------------------------------------------------------------------
http://www.malaysiakini.com/news/92467
| Ku Li tewas akibat gagal sogok wang? Muda Mohd Noor, Nov 5, 08 10:45am |
Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan, dakwa seorang pembantu bekas menteri kewangan itu. Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan. Kamal Amir berkata, 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno. Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara terbuka melalui kaedah angkat tangan. "Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit. "Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya. Kamal Amir berkata, kebanyakan mesyuarat bahagian tidak membincangkan usul, sebaliknya perwakilan meninggalkan mesyuarat selepas selesai mengundi. Ini, katanya, seolah-olah perwakilan hanya mahu mengundi dan tidak berminat untuk membahaskan usul seperti dalam mesyuarat perwakilan sebelumnya. |
-----------------------------------------------------------------------------
Jelas berdasarkan petikan berkenaan, didedahkan sekurang-kurangnya tiga budaya negatif dalam UMNO.
01. Budaya Sogokan
02. Budaya Takut Menyatakan Pendirian (hanya berani dalam keadaan sulit / tersembunyi)
03. Budaya Ambil Mudah / Sambil Lewa
Selain didedahkan melalui berita di atas, beberapa lagi budaya negatif yang perlu diberi perhatian untuk diperbetulkan jika UMNO mahu terus relevan:
04. Budaya Mengampu (Sentiasa memuji walaupun Big Boss melakukan kesalahan / kesilapan)
05. Budaya Mengutamakan Kepentingan Diri (Tidak berani menegur kesalahan / kesilapan Big Boss takut kehilangan kuasa / pangkat / kesenangan / kemudahan)
06. Budaya Meminta Balasan / Komisen
07. Budaya Enggan Berundur (enggan memberi laluan kepada orang lain walaupun sudah tidak relevan lagi kecuali bila benar-benar terpaksa)
08. Budaya Pijak Memijak Untuk Naik Ke Atas.
Saturday, October 18, 2008
Perlu beginikah???
Perlu beginikah?
Semata-mata mahu mengekalkan pangkat dan kuasa...
Perlu beginikah?
Semata-mata mengekalkan kedudukan dan jawatan...
Perlu beginikah?
Semata-mata memastikan projek dan keuntungan masuk berpanjangan...
Perlu beginikah?
Semata-mata mendapatkan balasan dan ihsan pihak atasan...
Perlu beginikah?
Semata-mata memuaskan gejolak dan kehendak nafsu yang tidak pernah reda.
Mari kita sama-sama fikir dan renung-renungkan.
Karya Sastera Berunsur Politik
- (Panggak Binasa Terlajak Kata)
I
Ratu anjing itu pun melengking, menyalak galak mengasah taring,
setelah lepas tersepit pengancing, lalu keluar dari akal yang sinting,
munci; Wajah yang sering berpaling dan sanggah yang polang-poling
menunjuk telunjuk berkait kelinking.
Makhluk juga; Takdirnya dia ... anjing
tabiat 'bagai melihat bayang di air yang bening'.
II
Masyarakat anjing itu pun riuh menyambut pulang seorang tokoh
dari paksina kedaksina gamat gemuruh menggoncang tulang-tulang tanpa roh
pameo pusaka dari benua jauh, panggak yang terlanjur angkuh,
alibi 'telur tembelang' di hari ketujuh, telah jatuh ke wajah ratu yang selingkuh
menggadaikan kabilah mudah diperbodoh
III
Suci suatu subuh itu terganggu, salak anjing antara azan yang syahdu
melihat kelibat siluman dan hantu, tawakal muazin menuju nawaitu
tertip titipan taqwa pada yang satu
biarkan ratu anjing itu menyalak waktu, bukit bukau tetap jitu
gunung-ganang tetap padu, manusia perlu berakal dan berilmu
IV
Alam maya bukan mutlak milik kita
dipinjamkan cuma sementara
dipentas ini kesempatan bersama
berjuta makhluk berbagai rupa
ketentuan anjing-anjing juga ada
V
Kok anjing biar menyalak
kok bukit diar berpuncak
kok terasa menyelar bijak
bumi juga tempat berpijak
padah kata bila kata terlajak
Dr Ibrahim Ghaffar, Bukit Kapar
Selangor. 22 September 2008
Petikan dari Utusan Malaysia 16 Oktober 2008
-------------------------------------------------------------------------------------
Politik baru YB J
PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.
Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).
“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.
Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”
Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.
“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.
“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.
Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.
“Apa maksud kamu mungkin tidak.”
" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”
“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”
“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”
Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-
jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”
Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.
Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.
Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.
YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.
Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.
Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.
Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.
Dipetik drp: http://www.utusan.com.my
12/10/2008
----------------------------------------------------------------------------------------
Sumber: http://drmaza.com/
-----------------------------------------------------------------------------------------
Saturday, October 11, 2008
Datuk Shah Rukh Khan

Shah Rukh Khan terima darjah Melaka bawa gelaran Datuk
Oleh Amirullah Andi Nur
MELAKA: Artis Bollywood, Shah Rukh Khan, menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi ke-70 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, hari ini.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Saadon Basirun, berkata penganugerahan itu sebagai menghargai sumbangan Shah Rukh Khan terhadap perkembangan pesat industri filem Hindustan di rantau ini, termasuk Malaysia.
"Bagaimanapun tarikh majlis penyampaian anugerah itu belum ditentukan lagi," katanya pada sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini, semalam.
Selain Shah Rukh Khan, tiga artis veteran tanah air pula menerima Darjah Seri Melaka (DSM). Mereka ialah Goh Eng Boon atau lebih dikenali Henry Goh; Jantan Osman atau lebih popular dengan panggilan Ali Mamak dan penyanyi keroncong, Mariam Ahmad. Saadon turut mengesahkan tiada pemimpin dan ahli Umno disenaraikan untuk menerima anugerah tahun ini kerana Kod Etika Pemilihan Umno tidak membenarkan anggota parti itu dianugerahkan darjah dan pingat kebesaran negeri.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Tahniah lah kepada SRK. Sebab SRK diberi gelaran adalah kerana menghargai sumbangan Shah Rukh Khan terhadap perkembangan pesat industri filem Hindustan di rantau ini, termasuk Malaysia. Rasanya lepas ni akan ramai lagi artis-artis luar negara akan terima gelaran Datuk. Kalau kira sumbangan perkembangan industri hiburan terhadap kawasan rantau ni, makanya ramai artis luar yang hebat akan masuk list untuk gelaran tu. di masa hadapan.. dari Indonesia, Thailand, Korea, Jepun, USA , India dan lain-lain lagi... Itu jika berdasarkan sebab tersurat.
Dari sudut positifnya, tentu ada sebab tersirat yang menyebabkan penganugerahan ini. Mungkin sebagai promosi pelancongan, mungkin juga sebab minat, mungkin atas pelbagai sebab lagi... Hanya KM Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka mengetahui sebab tersiratnya.
Moga Melaka terus maju.
Tabik korang kerana ingatkan aku yang jauh ini..
Hei!, berhati-hati dengan apa yang anda fikirkan..
Jika anda tidak pasti atau tidak tahu, lebih baik diam.
GOOD LUCK TO ALL!!! TAHNIAH KEPADA SEMUA PENERIMA DARJAH KEBESARAN. MOGA TERUS MEMBERIKAN SUMBANGAN POSITIF KEPADA NEGERI DAN NEGARA.




